1.3 Reka Bentuk Kurikulum Kebangsaan Dan Penterjemahannya Dalam Sistem Pendidikan Di Malaysia.

 

Menurut Akta Pendidikan (1996), kurikulum kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan yang membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

Malaysia mempunyai sistem kurikulum berpusat dan proses pelaksanaan perkembangannya adalah secara top-down. Kurikulum kebangsaan mula disarankan sejak Penyata Razak (1956) membolehkan setiap pelajar sekolah di Malaysia mendapat ilmu, kemahiran, nilai dan budaya sebagai warganegara Malaysia.

Kurikulum yang telah dibentuk kemudiannya akan didokumentasikan dan disebarkan ke seluruh sekolah di Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Pelajaran Daerah. Para pegawai di peringkat ini harus memastikan sebarang maklumat berkaitan kurikulum disebarkan dengan tepat dan jelas supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan guru-guru di sekolah. Hal ini supaya proses penyampaian kurikulum dapat berjalan dengan lancar semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlaku. Oleh itu, guru berperanan penting sebagai pelaksana penyampai kurikulum kebangsaan. Guru perlu menekankan tiga perkara dalam penyampaian perkembangan kurikulum, iaitu:

i. Guru sebagai perancang – merancang dan menyediakan kurikulum

ii. Guru sebagai pelaksana – melaksanakan kurikulum melalui proses pengajaran dan pembelajaran

iii. Guru sebagai penilai – menilai keberkesanan kurikulum : formatif dan sumatif

Kurikulum yang telah dibentuk oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah sebagai panduan kepada setiap pendidik yang telah diberi tanggungjawab agar melaksanakan pengajaran berpandukan rancangan pengajaran. Proses merancang pengajaran merupakan sebahagian daripada proses kurikulum yang mengandungi himpunan subjek-subjek. Seterusnya, rancangan pengajaran bagi satu unit pelajaran, silibus untuk rancangan sesuatu subjek, serta rancangan kerja bagi melengkapkan maklumat terperinci silibus bagi tempoh tahun persekolahan.

Terdapat 2 jenis kurikulum yang terdapat di Malaysia iaitu kurikulum formal dan kurikulum tidak formal..

Kurikulum Formal

Kurikulum formal merupakan kurikulum tersurat (manifested curriculum) yang nyata, terancang dan mempunyai urutan. Kurikulum formal berfokus kepada objektif, matlamat, subject matter dan struktur pengajaran. Jenis kurikulum formal yang terdapat dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah seperti berikut :

1) Pra Sekolah

  • Untuk murid-murid yang berumur 4 hingga 6 tahun
  • Dirancang sebagai persediaan untuk sosialisasi pendidikan rendah
  • Untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan
  • Menguasai kemahiran asas
  • Memupuk sikap positif sebagai persedian masuk ke sekolah rendah
  • Memperkembangkan daya kreativiti dan estetika menghargai keindahan alam dan warisan budaya
2) Sekolah Rendah
  • Merupakan kesinambungan kepada pendidikan pra sekolah
  • Dirancang untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dalam bidang asas
  • Pendedahan kepada membaca menulis, mengira (3M) serta pendedahan kepada subjek-subjek lain (sains, kemahiran hidup, kajian tempatan, pendidikan moral)
  • Kurikulum ini dilaksanakan dari segi komunikasi, manusia dan alam sekeliling serta perkembangan individu
  • Sesuai dengan keperluan minat, bakat, dan kemampuan mental serta kesediaan murid-murid
  • Murid-murid akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun akhir pengajian sekolah rendah iaitu Tahun 6.

3) Sekolah Menengah

  • Lanjutan daripada pendidikan sekolah rendah ke arah mengembangkan potensi individu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
  • Merangkumi pengetahuan, kemahiran, nilai-nilai rohani, kemanusiaan, kemasyarakatan dan asas kewarganegaraan.
  • Terdapat 3 aliran utama dalam pendidikan menengah atas,

- Aliran Akademik (Sains/Sastera)

- Aliran Teknik dan Vokasional

- Aliran Agama

  • Pendidikan menengah terbahagi kepada 2 peringkat:

- Pendidikan menengah rendah (Tingkatan 1 – Tingkatan 3)

- Pendidikan menengah atas (Tingkatan 4 dan Tingkatan 5)

  • Peperiksaan Utama

- Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) (mula dikenalkan pada 2014 menggantikan Peperiksaan Menengah Rendah, PMR untuk murid tingkatan 3)

- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Diambil semasa tingkatan 5)


4) Kurikulum Pendidikan Khas

  • Untuk murid berkeperluan khas (masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran) dan murid pemulihan khas.
  • Menekankan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya murid ini dapat melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan hidup berdikari.

Kurikulum Tidak Formal

Kurikulum tidak formal merupakan pendidikan yang berlaku di luar bilik darjah/ tidak dirancang. Ia melibatkan human variables yang tidak dikawal atau tidak mempunyai pelan berstruktur. Kurikulum tidak formal melibatkan interaksi sosial-piskologikal antara pelajar dengan guru, yang melibatkan perasaan, sikap dan tingkah laku. Terdapat 2 jenis kurikulum tidak formal.

  • Ko-kurikulum

Aktiviti yang dilakukan di luar kuliah untuk menyokong kurikulum yang bertujuan untuk membentuk personaliti dan sahsiah pelajar. Aktiviti ko-kurikulum adalah seperti pasukan unit beruniform, kelab, persatuan dan sukan. Kebiasaannya, aktivit ko-kurikulum diwajibkan kepada setiap pelajar.

  • Kurikulum Tersembunyi

Sesuatu yang dipelajari atau diperolehi oleh pelajar secara tersirat dan tidak mempunyai penyataan bertulis. Ianya merupakan sebuah elemen yang perlu diambil kira semasa merancang dan merekabentuk kurikulum . Sebagai contoh, peraturan, nilai-nilai yang telah diterima masyarakat, kehidupan institusi, proses sosialisasi, pembudayaan, pengetahuan dan kemahiran dan sebagainya. Kurikulum tersembunyi ini lazimnya boleh diperolehi semasa proses pembentukan kanak-kanak daripada peringkat pra sekolah lagi. Kurikulum tersembunyi ini berpengaruh sebagai suatu komponen tambahan sambil melaksanakan kurikulum biasa.


Reka Bentuk Kurikulum di Malaysia

Pembentukan dan penyusunan kurikulum kebangsaan mempunyai dua reka bentuk iaitu secara vertikal dan horizontal. Reka bentuk vertikal dijalankan secara sekuen dan kontinuiti. Manakala, reka bentuk horizontal pula mengandungi elemen seperti skop, integrasi dan imbangan.

  • Vertikal

Sekuen – elemen yang terkandung dalam kurikulum dan disusun bagi memastikan urutan pembelajaran berjalan dengan teratur supaya pembelajaran dapat berlaku secara berterusan. Ia merupakan pengajaran secara bertingkat atau mengikut tahap seperti tahap yang mudah ke tahap yang lebih kompleks, pelajaran secara konkrit dan abstrak dan kronologi.

Kontinuiti – bagi memastikan terdapat kesinambungan yang sesuai antara satu peringkat pembelajaran ke tahap yang seterusnya.

  • Horizontal

Skop – mengenai keluasan dan kedalaman sesebuah topik, kandungan, dan pengalaman pembelajaran secara kognitif, afektif, dan psikomotor.

Integrasi – merupakan hubungkait antara pengetahuan sedia ada pelajar, dan pengalaman dalam kurikulum supaya pembelajaran lebih bermakna dan menyeluruh

Imbangan – keseimbangan yang terdapat dalam setiap aspek yang melibatkan proses kurikulum dan reka bentuk kurikulum. Merujuk kepada agihan, kepadatan muatan dan kesecocokan kandungan dengan masa pembelajaran yang diperuntukkan kepada pelajar-pelajar untuk menguasainya.


Orientasi Reka Bentuk Kurikulum

Kurikulum Berorientasi Pelajar

Lebih berfokus kepada individu dan pengajaran berdasarkan minat pelajar. Pelajar mengorganisasi kurikulum sendiri berorientasikan aktiviti dan membina pengalaman. Bersifat terbuka kepada semua pelajar untuk turut serta.

 

Kurikulum Berorientasi Masyarakat /Masalah

Berasaskan kepada pemikiran manusia dan kesejahteraan sejagat. Makhluk sosial yang perlu hidup bersama di samping konflik. Pelajar dapat mengenalpasti, memahami, menganalisis masalah yang dihadapi dalam kehidupan.

 

Kurikulum Berorientasi Nilai

Berpusatkan isi kandungan yang melibatkan proses mengingati dan memahami secara berperingkat

 

Kurikulum Eklektik

Menekankan pengetahuan, nilai, dan warisan budaya. Lebih fokus kepada membangunkan intelek pelajar berdasarkan subjek dan pengetahuan

 


Pola Reka Bentuk Kurikulum

Kurikulum sebagai

perancangan

Kurikulum yang berusahan untuk memperkembangkan potensi

individu sebagai satu usaha yang berterusan

Kurikulum sebagai

proses

Usaha untuk menangani masalah yang berlaku dalam pendidikan

Kurikulum sebagai objektif

Objektif kurikulum merujuk kepada nilai yang merangkumi ilmu pengetahuan dan juga keterampilan. Ia merujuk juga nilai yang

terdapat dalam diri pelajar


Penterjemah dan Pentafsiran kurikulum kebangsaan

Menurut Akta Pendidikan 1996, kurikulum kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan yang membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

Penterjemahan Kurikulum Kebanngsaan

Penterjemahan kurikulum kebangsaan mengandungi proses yang melibatkan 4 komponen yang saling berhubung, iaitu:

i.       Asas pertimbangan pembinaan kurikulum

-        Pembangunan Negara

-        Perkembangan individu

-        Teori pembelajaran

-        Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

-        Empat Rukun Pendidikan


ii.     Peringkat pelaksanaan kurikulum

-        Komponen Mata Pelajaran Wajib

-        Program-program khas


iii.    Amalan kurikulum bilik darjah

-        Strategi pengajaran dan pembelajaran

-        Penilaian


iv.    Hasil pelaksanaan kurikulum

-        Pembangunan insan

-        Pembangunan negara


Ulasan